21 - 26 January 2022, Malaysia Pavilion @ EXPO 2020 Dubai

Sustainable Agriculture Week - Our Food, Our Future!

MAFI tarik RM455 juta pelaburan berpotensi di Ekspo 2020 Dubai

DUBAI, 26 Feb — Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berjaya menarik potensi pelaburan dengan nilai RM455 juta menerusi penganjuran Minggu Pertanian Lestari di Ekspo 2020 Dubai yang berlangsung dari 21 Februari lepas hingga hari ini.

Ketua Setiausaha MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid berkata potensi nilai pelaburan itu melebihi sasaran awal kementerian iaitu RM350 juta seterusnya menyifatkan penganjuran minggu tersebut sangat berjaya.

Beliau berkata potensi itu dicapai menerusi pemeteraian 12 Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dengan syarikat tempatan melibatkan kerjasama teknikal, pelaburan, penyediaan fasiliti perniagaan (business facilitation) selain penyelidikan dan pembangunan.

“Selain itu, kita telah mengadakan 70 padanan perniagaan berbanding sasaran 50 dan semua usaha ini telah lama MAFI mulakan termasuklah dengan melancarkan laman mikro pertanian lestari yang memaparkan latar belakang lebih 40 syarikat berkaitan pertanian.

“Ada juga beberapa negara menyatakan minat untuk mengadakan fasiliti perniagaan berkaitan industri pertanian seperti Namibia, Mexico, Surinam, Slovakia, Jepun, India, Jerman dan Maldives,” katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Haslina selain berjaya mewujudkan kerjasama perniagaan, Minggu Pertanian Lestari itu juga merupakan platform terbaik untuk syarikat Malaysia meluaskan pasaran halal bukan sahaja di sini atau Emeriah Arab Bersatu (UAE), malah ke pasaran Timur Tengah.

Beliau berkata aktiviti yang diadakan sepanjang minggu termasuk demonstrasi masakan tempatan, ukiran serta edaran buah-buahan tempatan seperti durian, nangka, pamelo dan jambu batu berjaya menarik kira-kira 40,000 orang pelawat ke Pavilion Malaysia.

Haslina turut berita kasih kepada semua pihak yang menjayakan Minggu Pertanian Lestari termasuk Malaysian Bioeconomy Development Corporation sebagai agensi pelaksana serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi selaku peneraju penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.

–BERNAMA

Source: https://www.bernama.com/bm/am/news_ekspo_dubai.php?id=2056000

Best viewed with IE9 and above / Mozilla Firefox 3.0 and above / Chrome with 1360 x 768 resolution.

All Rights Reserved 2022 © Ministry of Agriculture and Food Industries Malaysia

X